covid-19 & Membaca tingkah-laku manusia
- rizal hassn
- Apr 16, 2020
- 5 min read

Seminggu lepas Dr Debra Birx mengandaikan bahawa kematian warga Amerika Syarikat, jika tiada tindakan mitigasi dilakukan, menggunakan model yang dikeluarkan oleh Imperial College, United Kingdom adalah sekitar 2.2 juta nyawa.
Beliau kemudiaan memohon supaya rakyat Amerika Syarikat untuk terus kekal dirumah, walaupun perkara itu telah diharungi mereka selama lebih 15 hari lama.
Nasihat ahli immunologi merangkap seorang kolonel tentera itu berbunyi, ‘Tiada peluru magika. Tiada terapi atau vaksin magika. Semuanya bergantung kepada tingkah laku semata-mata’. Dr Birx juga merupakan penyelidik HIV ternama negara itu.
Kajian Imperial College itu juga mengandaikan kematian sehingga 500 ribu nyawa di United Kingdom. Namun dengan langkah-langkah penjarakan sosial termasuk selama 3 bulan dengan mengamalkan kuarantin di rumah, menutup sekolah dan universiti dan mengasingkan pesakit serta menjejaki individu-individu yang telah berhubung dengan pesakit yang dijangkiti Covid-19, diunjurkan dapat mengurangkan kadar kematian sehingga 50%.
Terkini terdapat beberapa model yang dikeluarkan di Amerika Syarikat termasuk yang diguna-pakai oleh kerajaan persekutuan keluaran Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) yang dikatakan menggunakan perspektif dan metrik yang berbeza.
Ada juga model-model yang dikeluarkan oleh negeri-negeri dengan dapatan yang agak berbeza.
Hakikatnya ianya sememangnya sukar untuk meneka tingkah-laku manusia apatah lagi cuba mengandaikannya, khasnya dikala dunia sedang menghadapi wabak virus baharu seperti Covid-19. Semuanya masih agak samar-samar.
Kita dihidangkan dengan maklumat dan penemuan baru hampir setiap hari. Baru-baru ini kita diberitahu anjing-anjing di Hong Kong telah dikesan positif virus Covid-19. Malah seekor Harimau Malaya di Bronx Zoo, New York juga dilaporkan positif.
Terbaru satu kajian mendapati bahawa virus Covid-19 dikesan berada terawang-awang di udara sejauh jarak 4 meter daripada pesakit. Sudah tentu semakin lama semakin banyak yang kita akan tahu tentang virus ini seperti yang disedari China baru-baru bahawa mereka yang telah dijangkiti berkemungkinan untuk dijangkiti semula. Covid-19 seakan mimpi buruk yang berpanjangan dan seakan tiada kesudahan. Dan ianya terbukti sangat mengujikan.
Awal ketika kes ini dilaporkan, Thomas Schaefer, menteri kewangan negeri Hesse sebuah negeri terkaya dan terpenting di Jerman dilaporkan telah membunuh diri.
Tidak lama selepas itu seorang ‘commanding officer’ dipecat kerana ‘surat panik’ beliau menyatakan kebimbangan beliau terhadap risiko jangkitan virus Covid-19 terhadap ratusan anak kapalnya menjadi viral.
Kapten Brett Crozier yang mengemudi kapal perang maha dashyat USS Theodore Roosevelt yang berkuasa nuklear, sebesar tiga padang bola dan 20 tingkat tinggi dikatakan ‘telah menunjukkan pertimbangan yang lemah dikala krisis’ malah ‘terlalu naif atau terlalu bodoh’.
Siapa sangka ‘Polis Dunia’ menggajikan figura sedemikian untuk mengemudi aircraft carrier-nya yang sangat terkenal itu?
Oleh itu tidak keterlaluan rasanya jika kita diajak bersyukur kepada Yang Maha Kaya kerana kerajaan sedia ada, barisan kepimpinan dan penjawat awam yang sering dilabel malas, tidak kompeten, dihujat bodoh, terlalu ramai dan sebagainya berjaya menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi, sangat komited dan berdedikasi.
Tentunya kita semua nampak jerih usaha mereka bekerja berjam-jam lama, meredah panas terik dan hujan lebat dan berjauhan dengan keluarga tercinta.
Bukan itu saja malah ketika kita #DudukDiamDiRumah mereka mendedahkan diri mereka dan keluarga kepada risiko jangkitan. Pengorbanan mereka semua sesungguhnya memainkan peranan yang sangat besar dan penting dalam mengawal penularan virus Covid-19.
Kepada barisan hadapan penjawat awam dan sukarelawan semua, saya dan seluruh rakyat Malaysia amat terhutang budi kepada anda.
Tentunya kita bersyukur kerana kita tidak seteruk Itali negara yang didambakan mempunyai sistem kesihatan yang tercanggih dan antara yang terbaik dunia dengan 19 ribu kematian. Rakyat kita juga tidak perlu berdemo hanya untuk sesuap nasi seperti yang berlaku di Tunisia. Kerajaan sedia ada setakat ini kelihatan cakna dengan suara hati rakyat dalam menghadapi virus Covid-19 ini.
Kerajaan kita juga tidak perlu meminjam RM240 bilion daripada Federal Reserve seperti negara jiran kita, Indonesia semata-mata untuk melawan Covid-19. Kedudukan kewangan negara kita menurut Menteri Kewangan dikatakan cukup untuk menghadapi penularan wabak virus Covid-19.
Semua rakyat dilayan dengan baik tanpa diskriminasi tidak kira latar etnik atau agama sehingga sembuh. Semua keputusan dibuat untuk memastikan nyawa rakyat Malaysia tidak diperjudikan.
Seperti dilaporkan lebih awal, Amerika Syarikat dengan Harvard, Stanford, Cornell dan MIT juga, sekadar beberapa contoh, masih kelam-kabut mengendalikan mitigasi wabak Covid-19. Malah bukan itu saja, entah dimana silapnya, dilaporkan kematian bangsa kulit hitam secara anehnya adalah jauh lebih tinggi daripada bangsa kulit putih sehingga menjadi polemik di negara itu.
Contohnya di Milwaukee County, Wisconsin, bangsa kulit hitam hanya mewakili 26 peratus daripada keseluruhan populasi, namun hampir separuh daripada 945 kes jangkitan adalah warga kulit hitam dan 81 peratus daripada 27 kematian. Di Illinois 42 peratus kematian adalah daripada bangsa kulit hitam walaupun mereka hanya terdiri daripada 14.6 peratus.
Keadaan di Chicago diberitakan lebih buruk apabila walaupun setakat 30 peratus populasi namun kematian hampir 70 peratus. Timbul isu akses bangsa kulit hitam kepada perkhidmatan perubatan dikala wabak Covid-19.
Apa yang pasti Amerika Syarikat sememang kekurangan peralatan perubatan seperti topeng muka, PPE (alat perlindungan diri) dan mesin bantuan pernafasan, ianya salah satu sebab mengapa Rumah Putih gagal mengesa seluruh rakyatnya untuk memakai topeng muka. Ini adalah kerana ianya diutamakan kepada pekerja barisan depan perubatan.
Apatah lagi ketika kerajaan persekutuan Amerika Syarikat sendiri telah dikritik secara senyap-senyap dan tidak telus ‘redirecting’ bekalan peralatan perubatan yang diperlukan untuk melawan virus. Laporan ini dibuat oleh banyak negeri yang mendakwa mereka tidak tahu-menahu apa yang terjadi kepada tempahan yang telah dibuat negeri masing-masing dan keberadaan peralatan perubatan tersebut.
Malah Federal Emergency Management Agency atau FEMA sendiri dikatakan tidak melaporkan tentang rampasan kepada bekalan yang dibuat.
Bukan itu saja malah warga negara itu yang berketurunan Cina dan juga Asia dilaporkan diherdik dengan kata-kata kesat, diludah, diserang sehinggakan ada yang dibunuh hanya kerana prejudis mereka ini sebagai pembawa virus.
Mana-mana pemerhati media tentu sedar akan kemungkinan ini berlaku adalah tinggi khasnya apabila Presiden Donald J Trump sendiri pada awal virus menular mewar-warkan kepada rakyat negaranya bahawa ianya adalah Virus Cina. Malah sehingga kini Presiden salah satu kuasa besar ekonomi dunia itu dikritik ramai kerana lemah dalam menangani pandemik Covid-19.
Rakyat Malaysia sememangnya bertuah mempunyai seorang Perdana Menteri yang bertanggungjawab dan tidak mudah melatah. Walaupun diawalnya beliau diherdik kerana mengaku berjiwa Melayu namun beliau telah membuktikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia tidak kira warna kulit atau kedudukan waima pengusaha perniagaan bertaraf T20 sekalipun, tetap akan terbela.
Walaupun ketika kerajaan baharu ini terbentuk, terdapat seorang pensyarah (harapnya beliau okay-okay saja di Australia) awal-awal lagi dalam sebuah makalah atas talian antarabangsa mendakwa bahawa ‘bangsa bukan Melayu dan bukan Islam adalah losers’.
Kelmarin pula ada satu kumpulan yang seolah-olah menyalahkan Islam dan Muslim kerana minuman memabukkan diklasifikasi sebagai tidak ‘essential’.
Ketika masjid-masjid dan rumah ibadat lain lengang kerana penjarakan sosial yang terbukti di seluruh dunia berkesan melawan Covid-19 dan Hari Paskah sendiri disambut dengan penuh sunyi, kumpulan ini nampaknya lebih risaukan ‘tuak’? Inilah the new normal yang disebut ramai. Semua daripada kita kena belajar untuk biasakan diri. Suka atau tidak.
Namun yang amat mengecewakan ialah kenapakah apabila kerajaan mengambil tindakan yang bersandarkan kepada perkiraan kesihatan dan keselamatan, ianya dilabel Islamisasi dan Islam juga yang dipersalahkan?
Bilakah pihak bukan Islam, walaupun bukan semua, mahu berhenti menyalahkan Islam dalam semua hal?!
Tentunya kecenderungan berpolitik bagi ahli-ahli politik dan apparat-aparat mereka, seperti yang dilemparkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan yang dikasihi, di mana pun mereka berada akan berterusan mengkritik setiap keputusan yang dibuat kerajaan.
Walaupun kritikan itu lumrah dan tiada salahnya, namun kita mahu mereka melakukannya dengan cara yang lebih berhemah, memberi tambah nilai dan sentiasa meletakkan kepentingan semua lapisan rakyat Malaysia ditangga yang teratas. Khasnya nyawa dan kesihatan rakyat Malaysia.
Ini bukan masanya untuk anda meneruskan agenda peribadi anda. Hentikan politik sempit berteraskan penipuan dan fitnah serta mesej-mesej atau video-video yang mengelirukan masyarakat umum yang kemudiaannya pula tentunya akan mengelirukan kerajaan dan menyukarkan mereka untuk menjalankan tugas mereka dengan baik dan berkesan, di saat-saat getir ini.
Barisan kerajaan memerlukan sokongan kita bukannya hujatan. Mungkin pesanan pemuda berusia 18 tahun ini, adik Shacind Ananthan yang merupakan graduan tahun satu ekonomi yang yang baru sampai ke tanahair dari United Kingdom dapat menyedarkan kita, “I urge the ‘armchair economists’ at home — the constant naysayers — if you cannot acknowledge the good our government is doing, at least don’t stand in their way,”.
Tepat sekali. #KitaJagaKita
Rujukan:
https://www.facebook.com/rizal.hassn.9/posts/151153656429664
Comments